Saturday 24 May 2014

Proses Pembelian Rumah Second (subsale)

Saya sering diajukan soalan oleh bakal pembeli berkenaan proses pembelian rumah ‘second’ (subsale). Di sini saya akan menerangkan proses tersebut.

Ada beberapa perkara yang perlu diambil sekiranya anda berhasrat untuk membeli rumah ‘second’ (subsale). Bagi memastikan proses jual beli tersebut berjalan lancar, pastikan anda membeli dengan perunding hartanah yang berpengalaman serta berdaftar dengan agensi hartanah berlesen.
Kebiasaanya sekiranya anda membeli hartanah dengan menggunakan khidmat perunding hartanah berdaftar, mereka akan membantu anda menguruskan hal-hal berkaitan urusan guaman, urusan penilaian hartanah, urusan mendapatkan pinjaman daripada bank, urusan mendapatkan maklumat berkaitan status Suratan Hakmilik samada sudah keluar atau belum serta pelbagai lagi khidmat nasihat yang berkaitan jual beli hartanah.

Adalah penting diberi perhatian oleh pembeli ialah memastikan anda membeli hartanah dengan harga pasaran. Ini kerana bank hanya akan memberi pinjaman sebanyak 90% manakala 80% untuk hartanah komersil  sahaja daripada harga pasaran hartanah berkenaan. Baki 10% adalah deposit anda.
Berkenaan deposit, ia terbahagi kepada 2 bayaran. Prosedur yang menjadi amalan kebanyakan perunding hartanah ialah bayaran pertama sebanyak 3% atau mungkin kurang dan ianya dikenali sebagai ‘earnest deposit’. Bayaran kedua pula ialah 7% dan dibayar semasa menandatangani Perjanjian Jual Beli (Sale Purchase Agreement) dibayar di hadapan peguam. Semasa anda membayar ‘earnest deposit’, perunding hartanah anda akan meminta anda mendatangani ‘Letter Of Purchase’. Dapatkan salinan daripada perunding hartanah supaya ia boleh dijadikan bukti ke atas bayaran yang telah anda buat.

Berkaitan deposit 10%, sekiranya deposit tidak mencukupi, anda boleh mengeluarkan Akaun 2 KWSP dan kaedah ini mesti mendapat persetujuan daripada pemilik hartanah kerana tidak semuanya pemilik hartanah sudi menunggu. Untuk keluarkan deposit daripada Akaun 2 KWSP, dokumen utama yang diperlukan seperti berikut:
Rujukan: Pengeluaran KWSP bagi tujuan membeli rumah
Secara ringkasnya, untuk keluarkan KWSP bagi pengeluaran pertama (Akaun 2), anda kena tandatangani Perjanjian Jual Beli dahulu, kemudian baru boleh proses untuk keluarkan KWSP. Bagi rumah dengan Suratan Hakmilik telah dikeluarkan, dokumen diperlukan ialah salinan Perjanjian Jual Beli, salinan Suratan Hakmilik, kebenaran Pejabat Tanah jika ada sekatan pindah milik dari pihak berkuasa dan surat tawaran pinjaman. Bagi Suratan Hakmilik yang belum dikeluarkan, dokumen yang perlu hanya Salinan Perjanjian Jual Beli, Surat Pengesahan daripada Pemaju dan surat tawaran pinjaman.

Setelah menandatangani Perjanjian Jual Beli, jangka masa yang diambil sehingga serah kunci adalah lebih kurang 4 ke 6 bulan dan ianya bergantung juga kepada status milikan tanah tersebut sama ada ‘Hakmilik Kekal’ atau ‘Hakmilik Sementara’. Inilah antara beberapa perkara yang perlu diberi perhatian sekiranya anda ingin membeli hartanah ‘second’ (subsale). Dan yang paling penting, anda sekurang-kurangnya mesti mempunyai 13% tunai pendahuluan (10% deposit + 3% bayaran guaman dan duti setem).

No comments:

Post a Comment