Friday 26 April 2013

Harga Jualan Vs Harga Pasaran


Perkara ini perlu difahami pemilik rumah, bakal pembeli atau sesiapa sahaja. Sesebuah rumah boleh dijual pada harga pasaran, di atas harga pasaran atau di bawah harga pasaran.

Harga jualan adalah harga yang ditetapkan oleh pemilik rumah. Tentunya harga ini telah mengambilkira kos-kos yang telah dikeluarkan oleh pemilik rumah. Selain itu juga keuntungan yang akan diperolehi apabila melupuskan atau menjual rumah tersebut. Harga jualan adalah hak penjual.

Cuma apabila Ejen Hartanah dilantik bagi menguruskan penjualan rumah, Ejen hartanah akan mendapatkan transaksi terkini di kawasan tersebut. Transaksi terkini yang dimaksudkan adalah transaksi jual beli terkini. Transaksi ini dijadikan panduan bagi meletakkan sesuatu harga.

Sebenarnya pemilik rumah boleh meletak harga sesuka hati mereka. Nak letak sampai RM 1 juta pun boleh. Cuma ada ke potensi pembeli sekiranya harga pasaran baru RM 500 Ribu tetapi harga jualan RM 1 Juta?
Kena ada strategi harga agar rumah yang dijual mendapat pulangan yang baik. Insyallah Ejen hartanah berdaftar dapat memberikan khidmat nasihat berkenaan harga. Ini kerana kajian pasaran akan dibuat terlebih dahulu. Proses akan jadi lebih mudah apabila anda melantik Ejen hartanah yang sudah mahir bagi sesuatu kawasan.

Berbalik kepada data tranksaksi jual beli terkini, data ini menjadi rujukan utama bagi penentuan harga pasaran oleh jurunilai (valuer). Ini dipanggil Metod Perbandingan atau Comparison Method. Selain penjual, pembeli juga perlu mendapatkan maklumat harga pasaran semasa bagi memudahkan anda menentukan bajet rumah yang dicari.

Tip kepada pembeli yang berurusan Ejen hartanah, anda boleh bertanya harga pasaran semasa bagi rumah tersebut. Selain itu juga, anda juga boleh menyemak sendiri di mana-mana Agensi Penilai atau pegawai bank. Ini dapat memberi jaminan bahawa rumah yang dibeli berada dalam lingkungan bajet yang ditetapkan.
Sekiranya rumah yang dibeli pada harga pasaran, anda hanya sediakan 10% deposit sahaja. Tetapi bagi rumah yang dijual di atas harga pasaran, pihak bank hanya menyediakan margin pinjaman 90% dari harga pasaran sahaja. Selain 10% deposit, pembeli juga perlu sediakan perbezaan pinjaman dengan baki harga rumah setelah ditolak 10% deposit.

Dapat disimpulkan di sini, pemilik rumah mempunyai hak untuk menentukan harga jualan. Pemilik juga berhak menolak tawaran pembelian sekiranya tidak berpuas hati dengan harga jualan. Pihak pembeli tidak boleh memaksa harga jualan diturunkan apatah lagi Perjanjian Jual Beli telah ditandatangani. Sekiranya harga jualan terlalu tinggi dan diluar kemampuan, sebagai pembeli anda boleh terus mencari rumah yang lain.

No comments:

Post a Comment